Saturday 12 November 2011

#4 Iman

Assalamualaikum.

Apa khabar kau iman?
Baikkah kau di sana?
Masih teguhkah pendirian kau di sana?
Mampukah kau terus bertahan di sana?

Hai iman, selalu juga aku bertanya.
Mungkinkah kau akan terus setia di sisiku?
Mungkinkah di hujung perjalanan kau akan pergi dariku?
Atau mungkin kau akan pergi buat sementara waktu?
Datang kembali di penghujung perjalananku?

Hai iman, aku tahu dan sangat tahu.
Walau kau selalu bersamaku.
Tapi kau datang sejak dari dulu.
Seperti kata orang, iman yang diwarisi turun temurun.
Manakan sama dengan iman yang ditemui dengan hati.
Iman yang sekadar dijadikan budaya dari keturunan.

Sungguh aku tahu wahai iman.
Kadang-kadang aku alpa.
Kadang-kadang aku leka.
Bagaimana berbezanya rasa antara menemuimu.
Dengan mewarisimu dari ibu ayah.

Iman, ku pohon kau tetap berada di sana.
Jangan pernah kau pergi tinggalkan aku.
Tetap kau setia menjadi temanku.

*keluh kesah
Sedihnya apabila mengenangkan bagaimana lekanya saya mengamalkan islam.
Mungkin begitu kerana sudah lahir sebagai seorang islam.
Mana sama manisnya dengan orang yang dipilih Allah untuk menemui hidayah di pertengahan hidup.
Manis sangat manis.
Hatta iman itu sebenarnya tidak boleh diwarisi.

Bagaimana kuatnya seorang ibu dan ayah mengajar anak-anak mereka untuk mendalami islam.
Belum tentu anaknya mampu untuk menjadi seorang mukmin yang baik.
Selagi tidak dibenarkan Allah.

Ingat lagi kisah Nabi Nuh a.s?
Bagaimana anak lelaki Nabi sendiri dihanyutkan banjir kerana tidak mengikut ajaran Allah.
Ingat lagi kisah Nabi Lut a.s?
Bagaimana isteri Nabi sendiri dimusnahkan bersama kaumnya kerana menentang ajaran Allah.
Malah, ingat lagi kisah Rasulullah S.A.W?
Bagaimana bapa saudara baginda sendiri tidak mengikut ajaran baginda, malah menjadi penentang terhebat baginda sendiri, iaitu Abu Lahab.
Malah bapa saudara baginda yang selalu menyokong baginda iaitu Abu Talib pun tidak memeluk islam sehingga saat akhir kematian.

Maka bagaimana pula kita yang mewarisi islam secara turun temurun?
Tidak hairan jika kesedaran kita mengenai agama islam sangat lemah.
Saya juga mengakui perkara sebegitu.
Jadi untuk apa kita banggakan warisan agama kita.
Andai tidak mendalami dan mengamalkan ajaran sedia ada.

*tarik nafas dalam-dalam
Moga kita sentiasa mencuba memahami islam dengan lebih mendalam.
Allah, kekalkan pendirian kami.
Kuatkan kefahaman kami.
Amin.

#notakaki
Dengar semula lagu Iman Mutiara dari Raihan

Friday 11 November 2011

#3 Kemalangan

Assalamualaikum.

Baru sebentar tadi melihat kemalangan.
Kasihan, wajah mangsa berlumuran darah.
Jelas nampak raut kesakitan di muka.
Entah apa asbabnya, tak pasti pula.
Datang ketika mangsa sudah dialihkan oleh orang ramai.

Alhamdulillah, yang bagusnya orang ramai prihatin.
Datang menolong mangsa.
Mengalih dan menenangkan, malah mengelap luka.

Teringat keadaan kemalangan jika di lebuhraya.
Kemalangan kecil saja boleh menimbulkan kesesakan berkilometer jauh jaraknya.
Puncanya, macam biasalah, terlalu ramai yang mahu menonton.
Kadang-kadang sakit hati pun ada.
Adakala kemalangan hanya tinggal kesan, tapi sesaknya sangat menyakitkan.
Kaki yang sengsara menekan pedal minyak.

Betullah, rakyat negara kita memang ramai yang prihatin.
Malangnya kebanyakannya hanya prihatin untuk menonton.
Yang mahu menolong seorang dua.
Malah kadangkala dalam keadaan sesak, timbul kemalangan yang lain pula.
Puncanya? Sikap tak sabar para pemandu.

Itu baru di lebuhraya, bagaimana dengan jalan di kota?

*mengeluh
kadar kemalangan di Malaysia sangat tinggi, apa puncanya?



#notakaki
Sabar itu separuh daripada iman

Tuesday 1 November 2011

#2 Mati

Assalamualaikum.

Semua makhluk akan mati.
Saya akan mati, dia akan mati, awak juga akan mati.
Tiada yang terlepas dari kematian.

Bila diberitahu kepada pelumba kereta untuk berhati-hati ketika memandu, mereka jawab
"Aku dah mahir memandu kereta"
Tapi mereka lupa berapa ramai pelumba kereta yang mati ketika berlumba?

Bila diberitahu kepada orang muda untuk bertaubat, mereka jawab
"Aku muda lagi. Tunggulah aku tua nanti"
Tapi mereka lupa berapa ramai orang muda, bahkan anak-anak kecil telah mati?

Bila diperingat kepada mat motor tentang bahayanya berlumba, mereka jawab
"Aku dah selalu berlumba"
Tapi mereka lupa penunggang motor merupakan mangsa kemalangan terbanyak.

Oh, mati itu tak akan pernah mengenal usia.
Bila tiba panggilan kematian, pasti tidak bertangguh.
Orang muda belum tentu sempat tua.
Orang tua mungkin panjang usianya.
Anak kecil belum tentu sempat mengenal dunia.

Oh, mati itu kan banyak caranya.
Ada yang mati dalam keadaan mulia.
Ada yang mati dalam keadaan yang hina.
Ada yang mati dalam keadaan yang terseksa.

Oh, bagaimana mati kita nanti?
Tak takutkah kita.

*sedih, takut
Mungkin matiku nanti dalam keadaan mengaibkan?
Nauzubillah, minta dijauhkan.


Dari Abu Sa'id r.a katanya: 
(Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
 
Abu Sa'id r.a

Mati itu sudah pasti.
Yang belum pasti bagaimana keadaan kita selepas mati.
Disambut baik sebagai mukminin oleh kubur?
Atau menerima layanan buruk sebagai pesalah?

Ya Allah.
Sediakan kami dengan bekalan mencukupi, untuk dibawa bersama selepas kematian kami.
Jadikan kami insan yang Kau pilih.
Amin.

#notakaki
kita lebih takutkan kematian berbanding takutkan alam selepas kematian.

Saturday 29 October 2011

#1 Hujan

Assalamualaikum.

Sekarang musim hujan yang tak menentu.
Lihat berita tentang masalah banjir.
Cuba tengok Thailand, kasihannya mereka dilanda banjir sudah lama.

Negeri-negeri di Malaysia juga berhadapan dengan masalah banjir.
Saban tahun akan ada ulangan peristiwa.
Pasti ramai yang kehilangan dan kerosakan harta benda.

Tapi bagaimana sikap kita?
Sewaktu berhadapan dengan dugaan tuhan.

Diberi panas, diminta hujan.
Diberi hujan, diminta panas.
Itukah tanda kita tak bersyukur?

#mengeluh sebentar
Hujan itu sebenarnya rahmat.
Banjir itu sebenarnya ujian.
Hati bukan tak tahu, tapi masih mengeluh.

#mengangkat dua tangan meminta doa
Tuhan, jadikan aku orang yang bersyukur dengan rahmatmu.

*notakaki
kanak-kanak sekarang tak boleh main air hujan, hujan sekarang berasid.